Jumaat, 10 Mac 2017

Teks Pengacara Majlis

Salam.

Ni kesinambungan daripada entri Pantun Pengacara Majlis yang aku post sekitar tahun 2015. Walaupun sekarang dah masuk tahun 2017! Haha! Dua tahun ke masa yang diambil untuk siapkan entri ni? Kalau dah kahwin, isteri tengah mengandung anak kedua dah sekarang ni. Nasib baik belum kahwin lagi. Ehhh...

Aku perasan entri Pantun Pengacara Majlis tu sentiasa jadi pilihan pembaca. Jadi aku rasa mesti ramai yang kerana terpaksa aku relakan jadi pengacara majlis macam aku ni. Dah alang alang tu, aku sambung entri tu dengan skrip atau teks pengacara majlis pulak. Alhamdulillah. Dah banyak jenis majlis jugak aku dah kena jadi pengacara majlis ni. Walaupun aku bukan hebat mana jadi pengacara majlis tapi bak kata pepatah, tiada rotan, akar pun berguna. Haaa... Aku la akar tu! Haha! Siapa tak faham maksud peribahasa tu boleh google sekarang. Jadi kalau ada sesiapa nak skrip atau teks untuk majlis majlis tertentu, boleh la mesej aku kat facebook, instagram atau twitter. Takpun boleh email aku kat hizami23@yahoo.com. Nanti aku kongsikan mana mana skrip atau teks pengacara majlis yang ada. Okay?



Kat bawah ni contoh skrip atau teks pengacara majlis penyerahan surat tawaran. Dan majlis ni antara majlis yang terkini yang aku jadi pengacara majlis. Tak silap 16 Februari 2017 yang lepas. Jadi korang boleh pakai semua isi kat bawah ni dan pandai pandai la ubah sikit sikit mengikut kesesuaian majlis korang. Kalau majlis hari jadi kat rumah kau tu tak payah la nak over sangat siap skrip atau teks pengacara majlis. Nak kena pijak ke? Haha!

MASA
PERISTIWA
BUTIRAN PENYAMPAIAN
3.30 petang

Mohon perhatian kepada semua hadirin, bagi memastikan majlis kita berjalan dengan lancar pada hari ini, semua hadirin diminta:
• meminimakan urusan keluar masuk dewan semasa acara berlangsung,
mematikan atau memastikan telefon bimbit anda berada dalam mode senyap.
• mohon hadirin berdiri ketika pengerusi majlis mengumumkan perarakan masuk Yang Berusaha, Dr. Mary Wong Lai Lin, Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia.
• mohon para pelajar untuk terus berada di dalam dewan selepas majlis selesai bagi memberi laluan kepada Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia, untuk keluar dewan.
Terima kasih.


Ketibaan KP JTM
Mengumumkan ketibaan,
Yang Berusaha, Dr. Mary Wong Lai Lin,
Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia,
diiringi,
Yang Berusaha, En Mohd Zabidin bin Abd Samad,
Pengarah ADTEC Melaka, dan,
Yang Berusaha, Dr Azmir Bin Mohd Yunus,
Pengarah Bahagian Kawalan Teknikal, Jabatan Tenaga Manusia,
masuk ke dewan.


Nyanyian lagu
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu korporat Jabatan Tenaga Manusia. Hadirin diminta berdiri.


Selesai nyanyian lagu
Hadirin dijemput duduk.

Kata-kata aluan
Bismillahirrahmanirrahim.

Yang Berusaha, Dr. Mary Wong Lai Lin,
Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia,
                                  
Yang Berusaha, En Mohd Zabidin bin Abd Samad,
Pengarah ADTEC Melaka,

Yang Berusaha, Dr Azmir Bin Mohd Yunus,
Pengarah Bahagian Kawalan Teknikal, Jabatan Tenaga Manusia,

pengarah-pengarah ILJTM, timbalan-timbalan pengarah, dif-dif jemputan, ketua-ketua jabatan, barisan staf dan kakitangan ADTEC Melaka, para pelajar serta hadirin-hadirat sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia.


Bacaan doa
Tepi Berangan Rumpunan Buluh,
Tempua Mendekat Jinak Dipikat,
Menadah Tangan Jemari Sepuluh,
Doa Dipanjat Memohon Berkat.

Bagi memberkati majlis kita pada hari ini, sukacita dijemput al-Fadhil Ustaz Shah Rizan bin Mohd Nor untuk memimpin bacaan doa. Dengan segala hormatnya, dipersilakan.


Selesai bacaan doa
Amin. Amin. Ya Rabbulalamin. Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada al-Fadhil Ustaz Shah Rizan bin Mohd Nor atas bacaan doa sebentar tadi.


Pengenalan
Alhamdulillah. Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita diberi kesempatan untuk bersama-sama berkumpul dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran “Sakura Exchange Programme”.

Untuk makluman hadirin dan hadirat sekalian,
Program ini bertujuan mengukuhkan lagi masa depan negara dalam bidang sains dan teknologi melalui kolaborasi secara industri dan akademik melewati lawatan jangka pendek ke Jepun, di samping, meningkatkan minat anak muda tempatan terhadap kemajuan negara Jepun terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.


Ucapan Pengarah ADTEC Melaka
Disaput Awan Bintang Kerdipan,
Tanpa Rembulan Sinar Berbalam,
Dijemput Tuan Beri Ucapan,
Kata Aluan Pemanis Kalam.

Untuk itu, majlis seterusnya menjemput,
Yang Berusaha, En Mohd Zabidin bin Abd Samad,
Pengarah ADTEC Melaka,
untuk menyampaikan ucapan alu-aluan.
Dengan segala hormatnya, dipersilakan.


Selesai ucapan Pengarah
Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada,
Yang Berusaha, En Mohd Zabidin bin Abd Samad,
atas ucapan itu tadi.


Ucaptama KP JTM
Kalau Tuan Sudah Berdiri,
Sudilah Tuan Sorongkan Papan,
Kalau Tuan Sudah Ke Mari,
Sudilah Tuan Beri Ucapan.
                                                          
Untuk itu, majlis seterusnya menjemput,
Yang Berusaha, Dr. Mary Wong Lai Lin,
Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia,
untuk menyampaikan ucapan.
Dengan segala hormatnya, dipersilakan.


Selesai ucaptama KP JTM
Demikianlah tadi ucapan daripada,
Yang Berusaha, Dr. Mary Wong Lai Lin,
Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia.
Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas ucapan sebentar tadi.


Tayangan video
Majlis diteruskan dengan tayangan video yang memaparkan aktiviti-aktiviti sepanjang program kolaborasi dan sangkutan 5 orang pensyarah dan 4 orang pelajar ADTEC Melaka ke National Institute of Technology, Nagaoka College pada tahun 2016. Dipersilakan.


Selesai tayangan video
Demikianlah tadi tayangan video yang memaparkan aktiviti-aktiviti sepanjang program kolaborasi dan sangkutan ADTEC Melaka ke National Institute of Technology, Nagaoka College. Tahniah diucapkan.


Penyampaian surat tawaran
Buah Kedangsa Menarik Hati,
Lebat Berbuah Tepian Persada,
Tibalah Masa Dinanti-nanti,
Surat Diserah Sebagai Tanda.

Untuk itu, majlis dengan segala hormatnya menjemput,
Yang Berusaha, Dr. Mary Wong Lai Lin,
Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia,
diiringi,                     
Yang Berusaha, En Mohd Zabidin bin Abd Samad,
Pengarah ADTEC Melaka,
untuk menyerahkan surat tawaran “Sakura Exchange Programme” kepada pensyarah dan pelajar-pelajar yang terpilih. Dengan segala hormatnya, dipersilakan.

Dijemput setiap pensyarah dan pelajar yang terpilih untuk tampil ke depan dan menerima surat tawaran “Sakura Exchange Programme”.
Untuk itu, dijemput:
1.           En Sofian bin Mohamad
2.           Saudara Isham Badrul Amin bin Ismail
3.           Saudara Roshamirul Arif bin Rosdin
4.           Saudara Mohd Khuzzani bin Kassim
5.           Saudara Mohd Rashidi bin Mohd Amin
6.           Saudara Mohd Asyraf Zakwan bin Lajim
7.           Saudari Nur Hidayah binti Romly
8.           Saudari Nur Aslina binti Asli
9.           Saudari Siti Aisyah binti Abd Razak
10.        Saudara Mohd Badrul Amin bin Mohd Hanafiah


Penyampaian cenderahati
Seterusnya, majlis menjemput,
Yang Berusaha, En Mohd Zabidin bin Abd Samad,
Pengarah ADTEC Melaka,
untuk menyampaikan cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan kepada,
Yang Berusaha, Dr. Mary Wong Lai Lin,
Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia.
Dengan segala hormatnya, dipersilakan.


Sesi bergambar
Majlis diteruskan dengan sesi fotografi bersama,
Yang Berusaha, Dr. Mary Wong Lai Lin,
Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia,
dengan pensyarah dan pelajar-pelajar yang terpilih untuk “Sakura Exchange Programme”.
Sehubungan itu, majlis juga menjemput,
Yang Berusaha, Tn Hj. Zainudin Bin Hj Ahmad,
Pengarah ILP Kota Bharu,
untuk turut serta bagi sesi fotografi ini.
Dengan segala hormatnya, dipersilakan.


Selesai sesi bergambar
Demikianlah tadi acara penyerahan surat tawaran “Sakura Exchange Programme” dan sesi fotografi yang telah disempurnakan oleh,
Yang Berusaha, Dr. Mary Wong Lai Lin,
Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia.
Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas penyempurnaan acara sebentar tadi.
Untuk itu, dijemput, Yang Berusaha, Dr. Mary Wong Lai Lin,
diiringi, Yang Berusaha, En Mohd Zabidin bin Abd Samad,
untuk mengambil tempat masing-masing.
Dengan segala hormatnya, dipersilakan.


Penutup
Maka, dengan itu, lengkaplah sudah majlis kita pada hari ini.
Sebelum berpisah, majlis dengan segala hormatnya menjemput,
Yang Berusaha, Dr. Mary Wong Lai Lin,
Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia,
diiringi, Yang Berusaha, En Mohd Zabidin bin Abd Samad,
Pengarah ADTEC Melaka dan dif-dif jemputan untuk menikmati minum petang yang telah disediakan di Dewan Serbaguna ADTEC Melaka.
Dengan segala hormatnya, dipersilakan.
Dan diminta kepada semua pelajar untuk tunggu sebentar di dalam dewan ini.

Sekian.
Wabillahi taufik wal hidayah.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam sejahtera.
Salam 1 Malaysia.




Semoga berjaya kepada semua yang sama ada secara sukarela atau terpaksa untuk jadi pengacara majlis. Tapi skrip atau teks pengacara majlis ni sebagai panduan je. Selagi majlis tak bermula, selagi tu akan ada je perubahan sana sini. Sedangkan majlis dah berlangsung pun boleh ada perubahan! Haha! Jadi bersedia je la untuk stress, untuk kelam kabut ditambah dengan nervous masa tu. Tak tak tak. Kalau semua tu berlaku, tarik nafas dalam dalam dan bertenang. InshaAllah dipermudahkan.

1 ulasan:

  1. Bagus... satu entry perkongsian ilmu yang sangat baik. Leh guna sebagai rujukan masa kan datang.

    BalasPadam

Copyright © Budak Lelaki Sebelah Pintu Designed by azhafizah.com